Friday, 2 August 2013

BULAN MULIA BULAN BAHAGIA

Hidup Memerlukan Pengorbanan,
Pengorbanan memerlukan perjuangan,
Perjuangan memerlukan Ketabahan.
Ketabahan memerlukan Keyakinan,
Keyakinan pula menentukan kejayaan,
Kejayaan pula menentukan Kebahagiaan

Indah kata-kata hanya nukilan
Indah nya wajah pada senyuman,
Indah permandangan pada lukisan
Indah nya malam pada bulan dan bintang
Indahnya hidup pada ujian dan dugaan
Indah nya hati hanya pada iman dan ketakwaan pd Ilahi

Andai jejak membekas bara,
Jika langkah membawa lara,
Jika tingkah menoreh luka,
Andai kata merangkai dusta,
Andai suara menikam rasa…
Tiada andai dan tiada jika,
Hanya ampun maaf ku dipinta di hari mulia.

credit to: Shakizah(officemate)


Wednesday, 10 July 2013

PULAU TAQWA

Masa yang dinanti kini sudah tiba
Kemunculan yang ditunggu makhluk insani
Datanganya dirai penuh suci
Hadirnya bersama muatan penuh keberkatan

Perjalanan Ramadhan ini tidak panjang
Manusia berpusu-pusu melaluinya
Dalam merebut peluang keemasan seribu bulan
Dalam mencapai destinasi tiga puluh malam

Kita semua ibarat pendayung
Mendayung perahu menuju ke sebuah pulau
Pulau istimewa pulau mulia
Pulau Taqwa nama adanya

Dalam mengharungi lautan menujunya
Kita mungkin berhadapan gelombang dan gelora
Yang mana ia mungkin memenatkan kita
Dan akhirnya ramai yang terkandas dipertengahannya

Maka untuk itu
Kita memerlukan suntikan semangat
Yang mampu membantu kita mencapai ke pulau itu
Lalu bawalah bersama dalam perahu kita
Bekalan rohani sebagai makanan
Yang akhirnya kita dapat tiba ke Pulau Taqwa.


Wednesday, 26 June 2013

KASIH PELANGI

Wujudmu tidak pernah disangka
Adanya kamu tidak pernah diduga
Hadir dirimu membawa warna warninya
Kemunculanmu menerbit sinar bahagia

Tidak dapat dikenalpasti
Dari mana muncul sinarmu
Tidak raih aku berfikir
Bagaimana wujud warna serimu
Begitu indah engkau mempersona

Kemunculanmu tidak lama
Hadir dirimu cuma seketika
Adanya kamu dengan bahagia
Wujudmu untuk berkasih bahagia

Duhai pelangi
Jarang sekali engkau menjelma
Jauh sekali kita berhadap sua
Namun kasihmu masih bersisa
Masih tebal tujuh lapisnya


Tuesday, 4 June 2013

RIBUT TENANG

Laut tenang
Sering dipuja sekalian manusia
Sering dibicara sekalian kata-kata
Dek kerana rasa aman yang ada padanya
Dek kerana indah meluas keadaannya

Langit biru
Selalu ditatap wajah mukanya
Selalu direnung ketinggian ajaibnya
Tidak bertiang tegak berdiri
Memberi tunjuk akan harapan yang sentiasa ada
Mengajar manusia akan sempit tidaknya hidup

Ribut fikiran memikirkan masalah
Tidak tenteram jiwa mengingatkan kekusutan
Kadang terasa seperti tiada penyelesaian
Buntu jalan mati akal

Dari kerana itu
Laut dan langit itu tetap kekal begitu
Ambil dan pergunakanlah ia
Sedang ribut itu pasti ada tenangnya.


Saturday, 13 April 2013

CERITA LANGIT

Mata ini
Sukar sekali mahu dilelapkan
Sukar sekali ia mahu dikatupkan
Walau rasa letih menguasai
Seharusnya ia dapat melenakanku dalam sedikit masa
Tetapi tidak untuk malam ini

Mata ini
Melihatkan langit yang diatas
Ia merupakan langit yang sama yang menghiasi
Walau dimana bumi kaki ini memijak
Itula jua langit yang dijunjung
Namun langit itu menyimpan pelbagai kisah dan cerita
Dari halaman yang berbeza

Mata ini
Memandang jauh ke dalam menembusi langit
Menyampai dan memainkan semula kisah lama
Kisah yang dicoret dibumi segar itu
Seolah tidak mahu mempercayai ia telah berakhir

Mata ini
Meneliti setiap coretan yang terukir
Mengenang kembali segala kenangan tercipta
Yang mana ia mungkin sukar untuk dipadam
Sesekali berlinang air dimata sayu
Dek kerana rindu yang tak dapat diselindung

Selagi berdiri langit diatas
Selagi nyawa terkandung dibadan
Akan ku cuba pertahankan memoir itu
Sesekali mungkin
Salamku kan disampaikan angin yang berhembus



Saturday, 30 March 2013

MATA HATI

Dalam sayup subuh ia menapak
Berlapikkan sarungan baru selesa kiranya
Melangkah sendiri penuh berhati
Tersadung suara aduh tiada yang mendengar

Memandang ciptaan Tuhan seindah penglihatan
Merasuh hati dihayati jiwa
Setiap sisi kejadian diperhati penuh teliti
Semua berperanan tak kurang kesempurnaan

Perjalanan jauh tak berat dirasa
Keringat mengalir tiada diperasan
Semangatnya penuh mencari penghayatan
Khayal diri dalam dunia Ilahi

Andai yang dicari dan diperhati adalah kebaikan dan kecantikan
Maka akan kelihatanlah kesempurnaannya
Andai yang dicari dan diperhati adalah keburukan dan kekurangan
Maka kana kelihatanlah kecacatannya.


Friday, 8 March 2013

TEPATI CARA

Dalam hidup ini
Segala hal yang kita laku haruslah menepati caranya
Dalam segenap perkara
Mestilah dilaksana mengikut kaedahnya
Dalam pada tiap rencana
Hendaklah disempurna menepati garis panduannya

Andai tidak
Manakan dapat permasalahan diselesai
Andai tidak
Manakan mampu perkiraan dicongak
Andai tidak
Manakan sempurna majlis dirai

Jika kalian berasa lapar
Makan adalah cara mengenyangkannya
Jika kalian berasa letih
Rehat adalah cara menghilangkannya
Jika kalian berasa kurang IMAN di dada
TUHAN adalah jawapannya.


Sunday, 3 March 2013

ALAM MALAM

Mentari kini telah sepenuh tenggelam
Hilang lenyap menelan suasana terang siang
Lalu rembulan suram mulai mewujud
Buat mengisi ruang malam nan kelam

Sepoi angin membaja sulam
Mendayu alunan bayu mengikat teman
Terhidang buat penambah santapan malam
Sedang cakerawala berburuj tidak

Dicipta wujud semesta alam tiada tersia
Tiap inci kejadian punya nilai dan pengajaran
Ambil dan pelajarilah ia sebagai tauladan

Belajarlah dari rumput nan lembut
Tiada membujur silang tika dilanda ribut
Walau ia sering diinjak
Masih tetap semula membangun utuh berdiri teguh
Memperjuang buat diri hingga akhir kering matinya

Belajarlah dari batu kecil dijalanan
Sering disepak lalu namun tiada berubah pendirian bentuk
Walau akhirnya tersepai memasir
Tetap cuba dipertahan dengan apa yang tersisa


Monday, 25 February 2013

JASA YANG DILUPA

Terbitnya mentari tatkala fajar subuh mula menyingsing
Muncul membawa sinar terang serta bahagia
Langit cerah nan membiru turut menggamit suasana
Pohon nan hijau pula memayung manusia dari silau matahari dan panasnya

Namun umum sudah turut maklum
Langit tak akan selamanya cerah membiru indah
Terkadang awan mendung nan gelap datang menutup langit biru itu

Saat itu terjadi
Langit dipersalah seolah tiada pernah cerah
Saat itu terjadi
Matahari dipersalah seolah tiada pernah menyinar
Saat itu terjadi
Pepohon hijau dipersalah seolah tiada pernah mendamai pemandangan

Iniah yang selalu dikata
Hanya karena setitik nilanya, rosak segala sebelanga susunya
Hanya karena silap yang satunya, dihilang lupa segala baik yang pernah dilakunya
Maka dari situlah diperlu akan tingginya sabar maaf serta keterbukaannya..


Friday, 8 February 2013

SEMPURNA BERSAMA

Hari ini
Kita dapat menempuh baiknya hari-hari yang kita lalui
Kita dapat merasa bahagia ketika jiwa dan perasaan bersama
Kita dapat melihat indahnya laut ketika membadai pantai
Kita dapat merenung amannya hati tatkala memandang kehijauan

Hari ini
Sebuah keluarga sejahtera bersama bapa dan suaminya
Sebuah masyarakat makmur bersama pemimpinnya
Sebuah perjalanan sampai ke destinasi bersama pemandunya
Sebuah perasaan bahagia bersama pemilik tubuhnya

Keberjayaan yang ada pada hari ini
Tak bisa tercapai tanpa kebersamaan

Tak lengkap kapal tanpa tuan nakhodanya
Tak lengkap laut tanpa ombak badainya
Tak lengkap langit biru tanpa awan putihnya
Tak lengkap MANUSIA tanpa Islam dan Imannya


Tuesday, 29 January 2013

Dia Insan Istimewa

Madah ini madah istimewa
Madah ini ku tulis hanya untuk dia
Kerna dia adalah insan sempurna
Dan dia adalah manusia luar biasa

Sepanjang aku mengenalinya
Dia tidak pernah mengecewakanku
Tidak pernah juga dia melemahkan aku
Adanya dia membawa sinar bahagia beserta damai yang tidak tergambar
Tiadanya dia tetap meninggalkan aman makmur yang tidak bertepi

Sesungguhnya aku amat merindui dia
Segala kata-kata yang pernah dihembuskannya
Tetap saja wujud tanpa hadir dirinya
Kata-kata yang membawa kebaikan pada setiap nyawa yang menurutnya
Kata-kata yang akan daku cuba penuhi dengan setiap daya yang masih tersisa

Ya Muhammad Nabiyuna
Ya Rasulullah Habibullah.
Selawat dan salam ku ucapkan padamu.
Allahumma Solli 'ala Muhammad..


Tuesday, 18 December 2012

FRIENDSHIP

Daku memulakan madah ini
Dengan puji-pujian pada Dia Tuhan semesta alam
Maha suci dan hebat-Nya tiada apa dapat menandingi
Maha sempurna perjalanan hidup yang telah Dia takdirkan
Sesungguhnya, Dialah Allah yang maha bijaksana

Coretan ini menjadi wadah
Bagiku meluah rasa hati ini yang tak mampu untukku perkatakan
Walau tak mudah untukku menghasilkan coretan ini
Namun daku gagahi demi mensyukuri nikmat yang diberi
Asal diketahui,
Kata-kata indah lahir dari hati yang tulus murni
Puisi itu lahir dari lisan yang tak mampu berkata-kata

Seseorang itu hanya digelar KAWAN dan SAHABAT
Apabila mereka telah melakukan empat perkara
Mereka berjalan bersama
Mereka makan bersama
Mereka beribadah bersama
Mereka tidur bersama

Semua itu telah daku rasai bersama kalian
Senang tawa kita bersama
Berhujan panas kita bersama
Bersusah sedih kita tiada terpisah

Kesyukuran yang tidak terhingga daku panjatkan pada Yang Esa
Kerana mengurniakan, kawan, rakan. dan sahabat seperti kalian
Terima kasih pada kalian kerana mewarnai kehidupanku
Takkan ku lupa segala kenangan dan janji kita..


Sunday, 9 December 2012

MENARI DALAM HUJAN

Indahnya hari bermula
Tatkala sang mentari terbit menyinar
Cahayanya cerah menerangi seluruh semesta alam
Serangga dan haiwan mula keluar mencari keperluan
Manusia melakukan apa yang perlu untuk memenuhi hari-hari kehidupan
Alangkah bahagianya semua tatkala suasana cerah

Adapun ketika rintik hujan mulai menjatuh
Semua yang keluar terus bubar kembali ke tempat asal
Segala yang diperlaku tadi terus terhenti
Merasakan hari itu tidak punya nasib baik

Namun begitu
Tetap saja masih ada yang merasakan kebahagiaan
Walau tidak dihujani cahaya keperluan
Mereka menikmati setiap detik yang berlaku sebagai satu anugerah
Mereka bersyukur dan melihat hikmahnya

Sesiapa yang mengatakan hari cerah itu sinonim dengan kebahagiaan
Dia belum pernah menari dalam hujan...


Monday, 19 November 2012

HEART OF PALESTINIAN

All your enemies
All your fighters
All your tanks
and All your soldiers
Against a boy holding a stone
Standing there all alone

In his eyes I see the sun
In his smile I see the moon
And I wonder
I only wonder
Who is weak
and Who is strong
Who is right
and Who is wrong

And I wish
I only wish that
The TRUTH has a TONGUE..


Thursday, 8 November 2012

PERSAMAAN YANG BERBEZA

Begitu banyak perkara yang kita lakukan bersama
Bergembira tawa kita bersama
Bersedih duka kita bersama
Bersenang teguh kita bersama
Bersusah payah tiada kita bercerai

Walau destinasi kita sama
Walau kenderaan yang kita gunakan adalah sama
Walau bahan bakar buat penggerak adalah sama
Walau bergerak kita juga pada kelajuan sama

Namun
Kita adalah manusia yang mempunyai watak berbeza
Kita mempunyai teknik dan kemahiran yang berbeza
Kita mempunyai kemampuan dan kekuatan yang berbeza

Sejauh mana mampu kita bergerak
Sejarak mana destinasi dapat kita pergi
Setinggi mana mampu kita capai
Bersyukur dan terimalah hasilan kita itu
Kita telah pun memberi sedaya mampu
Analisa dan perbaikilah ia di masa hadapan


Monday, 29 October 2012

HUJAN HATI

Tatkala hujan ramai turun membanjiri permukaan
Tatkala itulah perasaan isitimewa memenuhi segenap ruang hatiku
Hadirnya rasa itu tanpa diundang jemput
Hadirnya rasa itu tanpa dipinta mohon
Ia hadir sebagai fitrah
Ia hadir kerana takdir kehadirannya

Kadangkala daku terfikir sejenak
Mampukah aku menahan perasaan ini
Berdayakah aku menafikan kata hati ini
Daku berperang dengan diriku sendiri
Daku berlawan dengan jiwa dalaman ini sendiri

Ada ketikanya daku berasa kuat mengharungi sendiri
Ada ketikanya daku berasa gagah melawan jiwa ini sendiri
Namun ada ketikanya pula berasa tidak tertanggung akan peritnya
Ada ketikanya daku terasa seperti seekor kumbang tua yang tidak punya apa daya
Dan ada pula ketika dan masanya terasa ingin diluah semuanya

Seribu satu perkara bermain dalam kotak pemikiranku
Seribu satu kata berlawan dalam pusat jiwaku
Buat masa yang ada pada ketika saat ini
Hanya doa mampu ku pohon sebagai perisai
Sebagai penguat hati dan penyembuh jiwa yang tiada daya


Thursday, 6 September 2012

MAAFKAN AKU SAHABAT

Aku bukanlah sahabat sempurna
Sering sahaja melakukan silap dan salah
Aku bukanlah sahabat mulia
Sering sahaja melakukan khilaf dan dosa
Aku bukanlah sahabat hikmah
Sering sahaja menambah duka dan lara

Sahabat
Engkau sentiasa ada disisi tatkala aku memerlukanmu
Engkau senantiasa ada untuk mendengar luahan hatiku
Engkau sentiasa ada dekat denganku unutk bersama aku
Adanya kita susah senang bersama

Sahabat
Mungkin aku pernah terlanjur bicara tersalah kata
Mungkin aku pernah meluka mencalar hati lara
Mungkin aku pernah menambah beban tanpa sengaja
Segalanya itu atas kelemahan jiwa

Lalu ku putuskan menyusun jari memohon kemaafan atas keterlanjuran
Tanganku menadah memohon keampunan Tuhan
Maafkan daku duhai sahabat
Maafkan daku duhai teman...


Saturday, 4 August 2012

ANDAI INI RAMADHAN TERAKHIRKU


Umum mengetahui bahawa
Kehidupan kita di atas muka bumi ini cuma sekali
Segala apa yang kita lakukan semasa hayat ini juga cuma sekali
Tidak ada yang kedua kali

Hanya dengan sekali peluang inilah
Kita harus melakukan yang terbaik
Hanya dengan sekali peluang inilah
Kita mesti melaksanakan yang sesuatu
yang mampu mengubah satu yang lain untuk selamanya

Duhai Penguasa Alam Semesta Yang Esa
Andai ini ramadhan terakhirku
Jadikanlah aku hamba yang menerima rahmat kemuliaanMu
Andai ini ramadhan terakhirku
Kasihilah aku dengan kebesaran pengampunanMu
Andai ini ramadhan terakhirku
Selamatkanlah aku dari bahana panas Mu yang tidak tertanggung olehku

Duhai Pencipta Yang Maha Pengasih Penyayang
Andai ini ramadhan terakhirku
Kurniakanlah aku rasa taqwa kepadaMu
Moga aku bisa menjadi insan muttaqin
Sebagaimana yang Engkau sebut dalam kalam mulia Mu


Thursday, 26 July 2012

KEMULIAAN YANG DIRINDUI

Penantianku kini telah berakhir
Selepas berbulan-bulan lamanya ku menunggu
Setelah setahun lamanya ku menanti
Akhirnya kau kembali menemui aku

Kerinduanku kini telah terubat
Selama beratus-ratus hari jiwa ku melara
Selama beribu-ribu detik raga ku tersiksa
Kini kau kembali membaluti parah hatiku

Kedatangan dan kehadiranmu sangat dirindui
Peninggalan serta pemergianmu amat ditangisi
Kedatanganmu membawakan kebaikan seribu bulan
Kehadiranmu mewujudkan keberkatan
Keberadaanmu melahirkan kebahagiaan
Kewujudanmu datang bersama seribu kemaafan

Duhai bulan yang penuh kemuliaan
Duhai bulan yang yang penuh keberkatan
Duhai bulan yang penuh kebaikan
Ku memohon dan berharap
Semoga pertemuan kita kali ini membawa lebih bermakna
Agar aku bisa menjadi insan yang lebih sempurna
Agar aku mampu menjadi insan yang lebih baik

Ya Rabbuljalil.. Allahumma amin..


Sunday, 8 July 2012

KHILAF

Mungkin salah apabila dikata langit kan selalu cerah
Mungkin silap apabila dikata bulan kan selalu indah
Mungkin juga tidak tepat apabila dikata mentari kan terus menyinar

Langit cerah adakalanya mendung
Bulan indah adakalanya tidak kelihatan
Sinaran mentari adakalanya tidak menerangi

Aku hanyalah manusia biasa
Sering saja melakukan kesilapan dan khilaf
Dek kerana kasarnya mata maka salah melihat
Dek kerana tajamnya lidah maka salah berbicara

Ku akui akan semua kesilapanku
Mohon maafkan aku..