Friday, 27 January 2012

PERJUANGAN SEJATI

Tatkala gelita menyelubungi malam nan kelam
Manusia tercari-cari dimanakah cahaya
Cahaya yang mampu menukar gelita menjadi cerah
Kerna
Apa yang di punya hanyalah sinar rembulan yang tidak mampu menerangi semesta
Diteruskan pencarian disertakan harapan yang terus menanti sinar cerah itu tiba

Lama menanti…
Lama mencari…
Selangkah demi selangkah gerak mencari
Sedetik demi detik masa berlalu
Ada yang seliuh
Ada yang jatuh
Ada yang rebah dan tidak bangun lagi
Namun pencarian harus diteruskan
Demi mencari sinar cahaya kehidupan
Moga nanti keturunan tidak merasa gelita

Tiba-tiba...
Kelihatan disebalik dua bukit
Muncul suatu serpihan sinar yang sangat terang
Tetapi belum kelihatan apakah yang mengeluarkan sinaran itu
Pengamatan diteruskan untuk melihat dari apakah cahaya itu keluar
Akhirnya ketahuan jua…
Mentari  ciptaan Ilahi inilah puncanya
Lama mencari akhirnya ditemukan jua
Semua bersorak gembira
Masing-masing saling berpelukan sambil air mata mengalir di pipi
Menyambut hasil yang lama dinanti

Mereka semua melahirkan rasa syukur dan terus berdoa
Moga Gusti memelihara sinar mentari ini
Agar dapat terus menerangi  semesta ini
Moga keturunan mereka terus berada dalam cahaya
Sinar cahaya kehidupan manusia…

(~perjuangan mencari cahaya hidayah Allah~)


Thursday, 26 January 2012

SINAR ANUGERAH

Pagi itu, pagi yang tenang
Tenangnya pula tenang yang tak pernah dirasa sebelumnya
Hembusan bayu serta alunan pepohon mendamaikan lagi suasana
Seluruh hari itu menjadi saksi akan kehebatan yang berlaku

Tempatnya di sebuah kawasan letaknya di Tanah Suci
Seorang ibu bertuah melahirkan seorang anak yang istimewa
Istimewanya anak itu punya anugerah yang tiada pada manusia lainnya
Kewujudannya membawa sinar keharmonian alam sejagat bersamanya

Tatkala manusia lain masih teraba-raba dalam kegelapan
Insan ini datang pada mereka
Membawa sinar cahaya dan harapan
Menyuluhkan jalan keluar buat mereka
Agar mereka tidak terus sesat bersama gelita

Insan istimewa ini terus menerangi semesta yang gelap dari dulunya
Sinar yang tak pernah padam itu dibawanya ke setiap pelusuk
Mula barat sampai ke timur,
Mula selatan bawah hingga atasnya utara
Sinar itu akan terus menerangi tanpa malap

Insan ini merupakan anugerah
Insan ini adalah pemberian
Insan ini adalah utusan
Bagindalah Muhammad Rasulullah



Thursday, 29 December 2011

OmBaK pAntAi

Kala masa cahaya senja mula meliputi sinar langit petang
Aku meletakkan diriku di bawah pohonan cocos nucifera
Sendirian
Di tepian pantai
Persilaanku di atas batuan besar
Sambil disambut ombak menderu
Beserta angin yang membawa bersama
sejuta perasaan

Mataku bulat melihat tanpa berkedip
Ronggaku bernafas lembut
Tubuhku kaku tanpa gerak
Tatkala angin menyapa diri ini

Adakalanya ombak membadai kuat
Porak-peranda batuan dan pasir
Adakalanya pula membadai lembut
Membuatkan batuan tidak ditemui diantara pasiran

Pelajarilah kehidupan dari hidupnya alam ini
Tuhan yang kuasa menjadikan manfaat
Pada setiap kehidupan ciptaan-Nya

Usah takut dibadai ombak
Usah gentar dilanda ribut
Kerana di situlah terdapatnya
Sebuah kehidupan


Tuesday, 27 December 2011

tAMaN InDaH

Hari ini
Aku menjalani kehidupan aku seperti biasa
Aku mulai hariku dengan nama-Nya dan kesyukuran kepada-Nya
Aku pun memulai langkah ku
Menuju ke suatu tempat di mana tiada seorang pun tahu
Setelah itu aku meneruskan perjalananku
Selangkah
Demi selangkah
Sendirian
Mencari taman indah menjadi perhentian sejati buatku

Sampai di suatu jarak
Ku temui suatu taman
Kelihatannya sempurna sekali
Dan aku beranggap barangkali inilah perhentian yang aku cari
Perhentian indah yang sejati buatku

Tetapi bila aku mendekat
Ia tidaklah indah seperti yang diharapkan
Daun-daunan serta bungaannya telah ada yang dipetik orang
Mereka telah tiba awal sebelum ketibaanku

Aku meneruskan lagi langkahku
Mencari dan terus mencari
Namun
Apa yang ku temui
Sama seperti apa yang aku temui sebelum ini
Segalanya hambar

Kini
Aku merasa seperti mulai pasrah
Perjalanan ku dilalui lemah
Perlahan  
Namun penuh dengan
Harapan..


Monday, 12 December 2011

HARMONI

Saat aku menerpa keluar dari teduhan bangunan
Kedinginan angin malam menyapa tubuhku
Kesejukannya jelas dapat ku rasakan
Dan..
Pada saat inilah ku melihat satu keindahan ciptaan Tuhan
Ku terpesona dikala pandangan pertama
Kesempurnaan yang ada padanya
Membuatkan aku tidak mahu dia hilang dari pandangan
Bulan yang muncul dihadapan mataku pada malam ini
Membuatkan aku merasakan ketenangan
Kala waktu sinarnya menerangi bumi
Bersama bintang yang memagari disekelilingnya

Pandanganku yang mengarah ke langit
Menjadikan aku lupa untuk melihat semula ke bumi
Ia seolah-olah membawa aku naik terbang ke langit kayangan
Membawa bersama hati dan perasaan
Memberikan aku kelapangan dan ketenangan
Menghilangkan segala keresahan

Wahai Tuhan
Engkau tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia
Bulan dan bintang ciptaan-Mu mewujudkan keamanan
Kau kekalkanlah keharmonian ini
Buat santapan dan pengamatan hamba-hambaMu


Monday, 5 December 2011

KABUS DAN MENTARI

Di saat aku mencelikkan mata
Aku tahu aku masih dapat menikmati kehidupan dunia ini
Ku bersyukur pada-Mu wahai Tuhan yang esa atas kesempatan ini

Aku merasakan kedinginan pada pagi ini
Kabus yang menyelubungi menapis pandangan dari melihat dengan sempurna
Namun
Disebalik itu dapat pula merasa serta melihat keindahan yang lain
Daun-daunan dipohon dipenuhi embun
Pabila sudah memenuh
Dititiskannye setitik demi setitik air embunan itu
Indah..
Indah..
Sangat indah..

Tetapi
Sangat benar apa yang selama ini diperkatakan
Tiada apa yang kekal didunia ini
Kemunculan mentari pagi bersama sinar yang selalu bersamanya
Memadamkan keindahan kabus pagi tadi
Tiada lagi yang menghalang pandangan
Tiada lagi bunyi titisan embun
Tiada lagi kedinginan
Segalanya lenyap ..

Juga benar apa yang diperkatakan
Nikmat Tuhan tidak pernah putus
Mentari pagi ini membawa keindahan lain muncul bersama dengannya
Daunan mula berguguran
Kicauan burung mula kedengaran
Melahirkan kembali sebuah kehidupan
Indah..
Indah..
Sangat indah..

Aku tahu bahwa keindahan ini juga bakal lenyap
Justeru apa yang kuharapkan
Hanyalah keredhaan serta kerahmatan
Dalam setiap nikmat-Mu
Yang Engkau turunkan
Amiin~

Tuesday, 29 November 2011

SINAR HARAPAN

Kicauan burung telah kedengaran
Berselang-selikan bunyi kokokan ayam
Masing-masing telah memulai kehidupan mereka
Masing-masing mula menjalankan tugas mereka

Burung..
Ada anak-anak yang menanti di sarang untuk diberi makan
Terbang merata mencari dimana-mana adanya makanan untuk dibawa pulang
Dengan harapan moga anak-anaknya mampu membesar dengan sihat dan kuat
Ayam..
Anak-anaknya dibawa bersama dengannya mencari santapan mereka
Jika dikais pada pagi maka dapatlah makannya waktu pagi
Dikaisnya petang dapatlah bahagian petangnya pula

Andai diibaratkan pada kita
Burung dan ayam itu tugasnya sama seperti ibu dan bapa kita
Ayah..
Memulai hidupnya seawal pagi mencari rezeki buat anak dan isteri
Mencari dimana-mana sahaja diatas muka bumi Allah ini
Ibu..
Mengajarkan anak-anak tentang cara hidup manusia
Anak-anak dibawa bersama dan diajar tentang kehidupan

Maka dari itu
Setiap apa kejadian itu pasti ada sesuatu yang boleh kita pelajari
Perhatikanlah dan hargailah segala apa yang diciptakan Tuhan
Kerana hanya dari itulah kita mempelajari apa yang dinamakan Kehidupan..